Perutusan Pengerusi

Dengan sukacitanya saya mengalu-alukan anda ketika kita melangkah ke tahun 2019 yang baharu. Bagi saya, tahun-tahun sejak penubuhan kami hanyalah permulaan perjalanan kami — untuk membina sebuah koperasi yang kukuh dan mampan untuk dinikmati oleh semua dan meraih manfaatnya, dengan janji masa hadapan yang lebih baik.
Sejak penubuhan KKSB pada tahun 2009, kami sebagai sebuah syarikat telah mengharungi pelbagai rintangan tempatan dan global. Namun setiap kali, kami bangkit lebih kukuh dan terus mengembangkan perniagaan kami dengan jayanya. Mengimbas kembali perjalanan kami, saya menyandarkan kejayaan ini kepada pelan strategik jangka panjang kami, komitmen kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan berkualiti yang memberikan kepuasan 100% kepada ahli dan rakan kongsi kami, serta sumbangan pasukan kami yang luar biasa dalam mencapai matlamat kami. Di samping itu, perjalanan kami ke arah kemampanan telah membolehkan kami mencipta kejayaan bersama pihak berkepentingan, dengan menyumbang kembali kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar Malaysia serta kepada kejayaan ahli Koperasi kami.
Budaya KKSB juga merupakan satu lagi faktor utama kejayaan kami. Ia turut tercermin dalam usaha kami mengejar kesaksamaan. Dalam “Pacuan ke Arah Kesaksamaan”, kami menumpukan usaha membangunkan insan, daripada akar umbi hingga pemimpin, dengan pendidikan, kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, memperkasakan mereka untuk mencapai potensi tertinggi dan menjadi penyumbang impak positif kepada komuniti mereka. Kami juga kekal komited untuk membangunkan warga kerja kami sendiri melalui pelbagai program pembangunan insan.
Kami “Memacu Kejayaan Bersama” dengan rakan kongsi di sepanjang rantaian nilai kami dengan menjalin hubungan jangka panjang yang membawa manfaat bersama yang berkekalan. Kami juga komited untuk membangun dan berkembang bersama rakan kongsi kami. Antara contohnya ialah persidangan pertemuan kami, di mana kami memaklumkan rakan kongsi tentang strategi perniagaan kami, mendedahkan mereka kepada trend baharu, serta memperkenalkan konsep kemampanan. Kami juga aktif mendampingi komuniti setempat dalam menyediakan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan, dan mempromosikan budaya serta warisan mereka.
Semangat KKSB juga terpakai kepada hubungan dan komitmen kami untuk memberi kembali kepada komuniti tempat kami beroperasi. Kami memupuk minda tanggungjawab sosial dan menggalakkan warga kerja kami untuk turut serta.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama berterusan daripada pihak berkepentingan, rakan kongsi, pengurusan dan kakitangan yang telah membantu membentuk KKSB sepanjang perjalanan kami ke arah kemampanan sejak 10 tahun yang lalu. Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan anda untuk mencipta impak positif yang lebih besar kepada masyarakat dan rakyat kita untuk bertahun-tahun lagi.
